Sunday 17 August 2014

Tip untuk memulakan bisnes online

1. Produk. Tak kira meniaga online ke offline. mestilah kena ada produk. hehe. takkan la nak meniaga, tapi takde produk. kalau boleh, cari produk yang unik dan ramai orang suka. jangan jual produk yang dah ramai orang jual. sebagai contoh, tudung..tudung kan cepat keluar fesyen baru. janganlah tetiba baru nak jual fesyen yang outdate. kalau boleh, cuba juga grab peluang. sebagai cth, sekarang tengah femes durian crepe. walaupun dah ramai yang jual, tapi masih laku. jadi boleh cepat-cepat ambil kursus belajar cara buat yang betul dan jual. 

2. Ambil gambar produk. yang ni penting, sila usaha untuk ambil gambar produk kita sendiri. sebagai contoh, teringin nak jual kek. tapi ambil gambar kek orang lain. 

3. Bina blog. ini penting, sebab kalau buat carian google. akan keluar website blog kita. sangat jarang keluar link facebook kat carian google. kalau tak pandai nak buat, boleh upah orang buat. sekarang dah ramai orang ambil servis buat blog. dan kalau boleh, keluarkan sikit duit untuk design blog yang cantik dan menarik. jangan buat blog yang suram dan serabut. boleh menyebabkan orang takde mood untuk scroll dan tengok produk-produk jualan kita. konsepnya sama macam kalau kita pegi kedai, kedai yang cantik comel menarik lagi buat kita rasa seronok nak membeli, dari masuk kedai yang catnya gelap dan barang bersepah-sepah serabut.

4. Buka akaun facebook. Kalau boleh buka dua-dua. Fanpage dan akaun personal khas untuk berniaga. dari pengalaman saya, akaun personal lagi cepat menarik perhatian daripada fanpage. mungkin personal facebook buat pelanggan rasa lagi dekat dan senang nak berbincang dengan kita. Seriously, facebook sangat penting untuk berniaga online. sekarang semua orang ada facebook. sekurang-kurangnya, pada permulaan, kawan-kawan terdekat tau tentang perniagaan kita. jadi diorang boleh promote kat orang lain.

PENTING! kena ada dua-dua akaun. blog dan facebook. blog untuk carian google, facebook untuk promosi pada orang-orang terdekat pada permulaan. juga sila letak facebook badge di blog. jadi pelanggan yang datang dengan carian google, boleh ke facebook anda.

5. Advertise. Yang ni paling penting dalam perniagaan online. sebab kita sendiri yang kena iklankan, orang tak datang sendiri. Lain dari kedai nyata, bila kita buka kedai. orang sekeliling atau yang melalui jalan depan kedai kita, akan tau yang kita ni kedai. tapi kalau online, kalau kita tak promote, memang orang tak akan tau. cara iklan yang free, selalu shout kat facebook dan masuk blog sesiapa saja, kemudian iklankan blog kita. free tapi time consuming. cara iklan yang efektif tapi berbayar, buat facebook advertise atau iklankan di blog-blog yang popular.

Thursday 14 March 2013

Cara Untuk Hidup Gembira


 Cara Untuk Hidup Gembira




Salam Sejahtera..
Anda ingin gembira.. Semua orang pun nak gembira..
Bagaimana mahu dapatkan kebahagiaan melalui kegembiraan? Semuanya bergantung pada diri sendiri
1- Cintakan Allah
Laksanakan segala suruhan Allah dan tinggalkan perkara yang dimurkai-Nya. Tanamkan rasa cinta kepada Allah S.W.T dan Bersangka baiklah kepada Allah S.W.T.
2- Buat Kebaikan
Lakukan lah kebaikan sesama manusia dan hidupan yang lain. Bantulah yang susah dan hulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Tanamkan sifat hormat menghormati dan bekerjasama tanpa mengira darjat mahupun pangkat.
3- Sentiasa Memaafkan
Semua orang pun pernah buat kesilapan termasuk diri saya sendiri dan termasuk anda sendiri. Sangat jelas ia menunjukkan kita tak sempurna. Jadi, marilah kita memaafkan mereka yang berlaku salah dan minta maaflah kepada mereka jika kita melakukan kesalahan.
4- Jangan melukakan orang lain
Jagalah perasaan orang yang berada di sekeliling kita. Jika kita melukakan hati mereka, tak mustahil kita juga akan dilukai kelak. Jadi jaga percakapan dan perbuatan agar tidak melukakan insan hati mereka.
5- Positif
Berfikiran positif sangat penting dalam kehidupan yang penuh dugaan. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan segala masalah pasti ada jalan penyelesaian. Elakkan berfikiran negativif :)

Sunday 8 July 2012

Tiga Golongan Yang Rugi


"Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata:"Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu". Aku mengucap:"Amin". "Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak dimasukkan ke syurga". Aku berkata:"Amin". Jibril berkata lagi:"Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya". Lalu aku mengucapkan:"Amin". -Riwayat Imam Ahmad
Daripada qaul Rasulullah SAW di atas dapatlah disimpulkan, terdapat 3 golongan manusia yang Rasulullah SAW kategorikan sebagai seorang yang rugi. Ruginya bukan di dunia sahaja, malah ruginya berterusan sehingga hari akhirat. Ketika mana orang lain berlumba-lumba mengumpul 'dana pahala' di dunia, dirinya sambil lewa dengan kehidupan dunianya. Maka terlepaslah peluang dan kesempatan yang Allah beri kepadanya.
Betapa tidaknya, peluang sudah ada di depan mata. Tetapi kerana ikutkan hati seronok dan teruja dengan nikmat kehidupan dunia, sekalipun nama junjungan Nabi Muhammad SAW didengarinya terasa berat lidah untuk menyebutnya. Jika seseorang yang punya perniagaan, sudah pastilah orang sebegini sentiasa dalam kerugian. Perniagaannya tiada kemajuan malah mungkin boleh sampai kepada peringkat muflis dan berhutang. Peluang telah pun tersedia tetapi tidak mahu dijamah keuntungannya .
"Ya Rahman.. Berkatilah usia kami agar sentiasa dalam ketaatan. Rahmatilah hidup kami agar sentiasa dalam keampunan. Sampaikanlah salam penuh kerinduan buat nabi junjungan serta jadikanlah kami teman... Yang berada di sisi Rasul-Mu di taman kenikmatan."
Begitu juga dengan seorang anak yang masih lagi mempunyai ibu dan ayah. Sungguh ibu dan ayah itu adalah aset untuk kita menambah pahala. Hatta dengan senyum kepada orang tua juga sudah diberi ganjaran pahala oleh Allah, apatah lagi jika mengikut segala perintahnya selagi mana tidak melanggar syariah. Pastilah ganjarannya lebih berlipat ganda. Dan inilah yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan kedua yang rugi semasa hidupnya. Walaupun mempunyai peluang untuk mendapat ganjaran pahala dengan berbakti kepada orang tua, tetapi orang tuanya dibiarkannya sia-sia. Dan ada yang sehingga sanggup meninggalkan mereka di rumah orang tua.
Teringat dengan kata-kata Imam Muda Hassan sewaktu menonton rancangan Imam Muda beberapa tahun yang lalu. Beliau mengingatkan pada semua anak-anak muda yang masih dikurniakan ibu ayah agar sentiasalah merasa syukur dengan kurniaan Allah SWT. Adanya ibu dan ayah bermakna Allah masih lagi memberikan kita peluang untuk berbakti kepada mereka. Allah masih memberikan kesempatan kita  untuk menambah dan merebut ganjaran pahala dan kebaikan dengan menghormati dan menyayangi mereka. Hanya dengan redha keduanya, maka redha Allah juga akan kita perolehi. Dengan berbakti kepada mereka, Allah akan balas dengan ganjaran pahala yang berganda. Itu janjiNya.
"Ya Rahman.. jadikanlah diri ini permata ayah bonda. Jadikan diri ini penyejuk mata mereka.. Jadikan diri ini penghibur lara mereka. Engkau kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sedari kecil hingga dewasa. Engkau redhailah mereka dan jadikan diri mereka redha padaku agar redhaMu jua sampai kepadaku"
Golongan yang ketiga daripada hadis di atas ialah golongan manusia yang apabila perginya Ramadhan, dosa-dosanya masih lagi tidak terampun. Asbab kerana hatinya masih lagi kurang persediaan dan kesediaan dalam menghadapi bulan Ramadhan. Dia hanya mengetahui bulan Ramadhan pada zahirnya sebagai bulan pengampunan tetapi sayang dia tidak dapat merasainya dengan hati yang penuh bersedia. Di mindanya hanya dapat memahami erti puasa dari segi istilah sahaja iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Sedangkan tingkatan orang yang paling ahsan puasanya, bukan setakat menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa tetapi dalam masa yang sama mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah SWT semata-mata. Asbab hanya memahami hakikat Ramadhan dari kulit sahaja tidak pada isinya, maka jadilah dia seolah-olah perenang yang hanya berenang di tepian tetapi tidak sampai ke dasar lautan walaupun kelengkapan dan peralatan sudah disediakan.
Tingkatan puasa orang sebegini termasuk di dalam puasanya orang awam. Lantaran itu, ada di antara amal yang dilakukan juga ala kadar sahaja. Hanya cukup dengan menahan diri dari makan & minum serta perkara yang boleh membatalkan puasa. Ibadahnya masih lagi seperti hari-hari sebelumnya. Malah ada lagi yang lebih mengecewakan ibadahnya seiring dengan maksiatnya. Alangkah ruginya golongan ini apabila peluang di depan mata sudah tersedia untuknya tetapi tidak mahu meraihnya. Baginya tidak ada bezanya Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain. Iyya'uzubillahi min zalik.
Tetapi apabila seseorang itu dapat menghayati hakikat Ramadhan yang sebenar, dia akan menggunakan dan mengambil sepenuhnya peluang dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan tersebut. Masa yang ada seakan begitu berharga. Tiap saatnya digunakan sebaiknya. Amalan wajib diperbaiki, amalan sunat digandakan lagi. Lidahnya sibuk dengan zikir kepada Ilahi.. Tangisnya di malam hari menemaninya setiap hari sehinggakan tiap waktunya adalah semata-mata memohon keredhaan dan keampunan Allah SWT.
"Ya Rahmanu Ya Rahim.. permudahkanlah langkah kami agar sentiasa ingin dekat denganMu. Berikanlah kami kekuatan dan kesihatan untuk sentiasa sujud kepadaMu.. Agar terdidik hati ini untuk sentiasa bersyukur dengan limpah RahmatMu. Jadikanlah jiwa ini sentiasa rindu dengan sentuhan kasih sayangMu. Jadikanlah lidah kami lembut dan tiada jemu menyebut namaMu malah rasa terhibur dengan membaca alunan kalamMu."
"Ya Allahu Ya Kareem.. Istiqamahkanlah setiap apa yang telah kami persembahkan... Engkau redhailah setiap apa yang telah kami lakukan.. Ampunilah segala dosa yang telah kami perbuatkan serta masukkanlah kami di kalangan mereka yang Engkau Rahmati dan Redhai.. Sungguh tiada daya kami melainkan Engkau yang Maha Pengampun jua Maha Pengasih."
InsyaAllah, sama-sama kita berdoa semoga usaha yang kecil dan amalan yang sedikit ini dapat mengubah diri. Biar kecil dan sedikit asalkan kita lakukan dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh. Berazam dan bertawakkallah kepada Allah SWT semoga Allah redha dengan apa yang kita lakukan. Yakinlah, amalan yang disertai dengan kesungguhan semata-mata mengharapkan redhanya Allah SWT pastinya nanti akan sentiasa menjadi 'sahabat' kita. Setiap masa kita akan bersama-sama dengannya. Umpama seseorang yang sentiasa membaca Al-Quran sudah pastilah Al-Quran itu menjadi sahabatnya. Ada sahaja kesempatan dan masa terluang, Al-Quranlah yang dicapainya. Hari-harinya sentiasa bersama Al-Quran.
Gunakanlah peluang dan kesempatan ini dengan melipat gandakan lagi amal ibadah kita. Perbanyakkan dzikir setiap masa dan muhasabah diri sentiasa. Tatkala larutnya diri dalam sendunya dzikir pada yang Esa, renungilah diri kita. Tiada yang lebih sempurna melainkan zat yang Maha Sempurna. Dan tikamana bersatunya diri dalam dzikirullah, pasti akan ada titisan jernih menyentuh pipi meraih beningnya hati. Air mata itulah nantinya akan menjadi saksi. Moga ianya juga yang akan membela mu di sana nanti. Negeri yang kekal abadi. 

Hukum Puasa Selepas Nisfu Sya'ban


Masih ramai kalangan orang awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (15 Sya'baan).
Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi'i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi'i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi'i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW:
"Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa"
 [ HR At-Tirmidzi ]
Dan telah berkata Abu 'Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini."
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
 [ HR Abu Daud ]
Imam ash-Shan'ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan'aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).
Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
1. Puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama.
(separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.

2. Puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang.
(yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah membiasakan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan kebiasaannya itu.

3. Puasa qadha' samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu.

4. Puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan.
Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.


Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi'i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-
(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-
Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.'anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit."... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha' atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).
Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu'in"pada halaman 60:-
(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ..., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha' walaupun hanya qadha' puasa sunnat.
Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-
Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi'i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui